Hantu Malaysia

Benda ni lama dah aku nak update dalam blog, tapi terlupa. Ok, lets begin.

Dulu masa aku kecil, aku selalu la juga tonton cerita hantu. Cerita Momok. Ada yang kelakar, ada yang seram la juga. Tapi lepas aku habis waktu kanak-kanak aku, aku kadang-kadang terfikir juga beberapa persoalan asas mengenai hantu ni.

Aku kadang-kadang pelik, kenapa ada hantu? Macam mana hantu tu boleh wujud. Padahal dalam sejarah peradaban manusia, aku tak jumpa pun karya-karya sastera yang menulis perihal hantu ni.

Seterusnya, kenapa hantu tu mesti perempuan? Ataupun memang tak ada hantu lelaki? Dari aku kecil sampai besar, semua hantu perempuan yang muncul dalam tv tu. Aku naik hairan dah. Mana generasi hantu lelaki? 

Lepas tu, kenapa hantu mesti hodoh dan tak cantik? Aku ada tonton Twilight, vampire mereka hensem dan menawan. Kalau aku dapat kekasih macam vampire dalam Twilight tu pun, aku sanggup je tidur sekatil dengan dia. Cantik tu. Aku tak faham kenapa hantu mesti hodoh. Dah la hodoh, lepas tu rambut serabai macam tak pakai shampoo setahun dah.

Ha, yang ni pun masalah. Kenapa bila disebut saja hantu, rambutnya akan panjang? Adakah mereka tidak mempunyai Kedai Gunting Rambut Hantu Se-Malaysia? Mana habis hantu yang berasal dari mat-mat punk? Mana hantu skin head? Kenapa hantu tak buat rambut mcm Cristiano Ronaldo?

Aku pernah dengar hantu Melayu, hantu Cina, hantu Jepun, hantu Thailand, hantu Indonesia. Tapi mana hantu Pakistan? Syiria? Afrika Selatan? Mekah? Mesir? Abu Dhabi? Tehran? Mongolia? Atau memang kat Asia je yang hantu-hantu ni menginap? Kenapa? Adakah Asia sebuah benua yang aman makmur tenteram tak ada bencana alam? Kenapa hantu-hantu di Asia ni tak migran kat negara-negara lain?

Sekarang banyak hantu dah yang ada. Hantu pun berevolusi. Sekarang ada hantu kopek, hantu pocong, hantu raya, hantu air, hantu galah, dan yang sewaktu dengannya lagi. Aku rasa kalaulah hantu-hantu ni pergi melancong ke negara-negara Eropah, nescaya wartawan negara itu berkata, “kami telah menemui seekor makhluk baru, kami masih mengkaji spesies apa makhluk ni”. Kenapa hantu-hantu ni dinamakan dengan nama sebutan bahasa Melayu? Aku tak pernah jumpa pula dalam tv tunjuk hantu-hantu dari negara lain.

Adalah asumsi aku ini betul; kalau tak nak jumpa hantu, sila berpindah ke negara United State of America, kerana di situ tiada hantu. Kalau ada pun, ada vampire (puntianak) je. Tapi puntianak mereka segak dan cantik. Siap pakai baju kot lagi tu. Hantu Malaysia? Harap ke kain kapan tu je la.

Hantu di Malaysia pun sering dikaitkan dengan Islam. Aku pun tak tahu kenapa ada relationship di antara hantu dengan Islam. Aku masih beragama Islam. Aku percaya perkara sam’iyat. Aku percaya ada jin dan syaitan. Tapi masalahnya kenapa hantu-hantu ni menyerang orang Islam saja? Dah memang tak ada orang lain nak diserang ke apa? Adakah sebab islamis percaya bahawa kewujudan perkara sam’iyat, maka hanya mereka yang diserang? Kenapa hantu ni boleh trace pula orang tu Islam atau tidak?

Satu lagi yang bermain di minda, bila dalam filem je, hantu mesti pandai berbahasa Melayu. Sedangkan bila ditanya kepada hantu tersebut berasal dari mana, jawapannya “aku berasal dari sebelum Kesultanan Melayu Melaka lagi”. Adakah hantu ini sempat mengkhatamkan Kamus Dewan edisi ke-4? Kenapa hantu ni pandai berbahasa Melayu? Mereka belajar di mana? Adakah mereka menghadiri seminar-seminar bahasa atau kursus-kursus bahasa Melayu? Kenapa mereka perlu fahamkan manusia normal bila berkata-kata?

Hantu sering kali dikaitkan dengan orang Melayu. Tapi orang India tak pernah pulak muncul hantunya dalam tv tu. Aku ternanti-nanti jugak nak nengok hantu India, Kadazan Dusun, Bajau, Jawa. Memang hantu ni suka berlegar-legar dalam dunia Melayu saja ke?

Actually, cukup-cukup la kita diperbodohkan dengan hantu Melayu yang primitif ni. Aku pun dah bosan. Sebenarnya ni semua pengaruh media massa. Mana anda semua tahu hantu tu berbentuk begitu?

Sebenarnya media atau filem yang menayangkan hantu tersebut dahulu, lepas tu perkara itu akan menjadi dogma masyarakat sehingga terbawa-bawa di alam realiti. Semua ini pengaruh. Aku tak nafikan bahawa; jika media massa tak ada menayangkan filem-filem hantu ni, maka tak akan ada masalah hantu di Malaysia ini.

Comments