![]() |
| photo credit to santabanta.com |
Prolog
Intra agama
Bajrangi Bhaijaan menunjukkan bahawa pergaduhan antara dua agama yang mana tidak dapat mencari persamaan antara agama. Apakah tujuan agama? Apakah itu ad-Din? Bagaimanakah filem ini dapat merungkai perbezaan agama bukanlah satu kelemahan untuk menolong orang lain. Agama itu suatu yang suci – sakral. Tetapi penganutnya tidak suci. Kesalahan penganut agama tidak boleh diletakkan sebagai kesalahan agama.
Islam di Pakistan dalam filem ini lebih merujuk kepada kaum sufisme. Di awal cerita, ada menyebut Hazrat Nizamuddin Aulia. Beliau adalah seorang ahli sufi dari Chishti Order di India. Dan dalam filem ini juga ada sejenis nyanyian yang memuji Allah, Rasulullah, dan Syeikh Nizamuddin sendiri. Kalau aku cakap bab sufi di sini, mungkin perbicaraan kita tak akan habis. Kau kena belajar dan kaji sendiri bagaimana sufi ‘bergerak’.
Doktrin atau iman?
Di negara luar, dalam konteks ini di India dan Pakistan – masyarakat di sana boleh saja memfilemkan berkenaan isu perbandingan agama seperti ini. Mereka bukanlah mengutuk dan mencaci agama lain, tetapi lebih kepada menimbulkan satu persoalan, dan akhirnya mencari persamaan dan perdamaian. Kalau di Malaysia, filem sebegini dilarang sekeras-kerasnya.
Rahmatan lil Alamin
Walaupun dalam Islam terdapat istilah ‘rahmatan lil alamin’ (rahman untuk semua), tetapi filem ini lebih menunjukkan persoalan yang ada dari konsep itu juga. Orang Muslim dalam filem ini sangat ‘kasar’ dan tidak bertimbang rasa. Begitu juga dengan kaum Hindu pelampau (keluarga Kareena Kapoor) yang tidak ingin ‘membela’ lagi Shahida.
Semua agama terdapat ekstremisnya sendiri. Opss, silap. ‘ekstremis tidak beragama’. Melampau dalam mana-mana agama pun adalah dilarang. Jangan marah jika anda bersalahan pendapat dengan aku – aku berpendapat bahawa Islam ini bukan agama yang rigid dan kaku yang tiada tolak ansur. Dan jangan label aku sebagai pluralis agama atau membawa fahaman liberal. Aku bergelumang dengan isu ini agak lama, hampir dua tahun. Aku bukan ingin berkata aku benar dan kau salah, tetapi kau patut menilai Islam itu dari kaca mata non-Muslim untuk kau baiki Islam itu supaya menjadi cantik untuk kau berhujah dengan non-Muslim.
Syiahisme
Aku tidak beranggapan yang menyebut ‘Ali’ berulang kali itu membawa pengaruh Syiah atau membawa kepada Syiah. Dalam ‘majlis’ nyanyian itu, aku memandang sebagai penganut mazhab sufisme. Tak cukup kuat untuk kau judge seseorang yang menyebut ‘Ali’ berpuluh-puluh kali itu sebagai penganut Syiah. Kaum sufi juga ada memuji ali. Kaum Sunni juga ada memuji ali. Kaum Islam juga ada memuji ali. Kau jangan ‘lari trek’ dengan berkata bahawa ‘syiah mencela sahabat bla bla bla’. Kita sekarang dalam konteks Bajrangi Bhaijaan yang mana penganut Islam di sana hanya menyebut (kau boleh juga kata ‘memuji) Ali, tetapi tidak mengeji sesiapa dalam nyanyian dan perbuatannya. Jadi bagaimana kau boleh tahu mereka Syiah?
Tawassul
Berkenaan Shahida dan emaknya mengikat tali pada ‘dinding’ itu, aku boleh berasumsi bahawa mereka ada pengaruh sufisme juga. Itu juga dipanggil tawassul. Kita ada tawassul kepada Nabi, mencium pedang nabi, menziarahi kubur nabi. Bertawassul dengan orang alim itu juga menjadi perdebatan dikalangan ulama. Kerana orang alim (ulama) itu bukan nabi. Isu boleh atau tidak boleh itu bukan isunya, tetapi apabila kita berhadapan dengan kaum Sufi, kita kena fikir satu perkara – dan perkara ini sama dengan ustaz aku cakap ketika aku belajar di sekolah pondok dahulu; beliau cakap “jangan nak cepat sangat menghukum ahli tasawwuf, jalan yang mereka ambil itu hanya difahami mereka sahaja”. Kaum sufi juga ada banyak jenis, ada banyak ‘jalan’, maka hanya kaum sufi yang itu sahaja yang memahaminya.
Bajrangi Bhaijaan vs PK
Secara plotnya, Bajrangi Bhaijaan lebih epik berbanding PK. Tetapi dari segi isunya (yang berbeza), setakat ini PK memenanginya. PK sebagaimana yang aku cakapkan tadi, isunya ialah inter kepercayaan – di mana Aamir Khan mencari tuhan yang tidak jumpa. Dalam Bajrangi Bhaijaan pula Salman Khan yakin dengan agamanya yang itu.
Bajrangi Bhaijaan tidak menggugat mana-mana agama. Film ini ingin menunjukkan bahawa agama ini bukan berfungsi untuk mengasingkan agama itu dengan agama ini. Lihat saja semasa Maulana Sahab yang mengajak Pawan masuk ke masjid itu. Scene itu menunjukkan Islam itu bukan untuk agama itu sahaja. Tetapi agama itu rahmatan lil alamin. Berbeza dengan PK – filem ini lebih kepada persoalan-persoalan yang mungkin dapat menggugat iman seseorang. Walaupun Aamir Khan dalam PK membela Islam, tetapi bila orang Islam sendiri menontonnya, akan rasa tergugat.
Serius aku cakap, kalau kau nak menonton PK, pastikan kau clear your mind, dan mengucap banyak-banyak. It’s very dangerous film kalau kau salah faham.