Bilakah sastera berunsur Islam di Indonesia diangkat?




Fenomena sastera Islam di Indonesia bermula pada tahun 1970an, tetapi perbincangan dan perdebatan wacana ini bermula dari tahun 1750an lagi; di mana seorang alim ulama yang masyhur di Indonesia, HAMKA, telah membenarkan dan mempertahankan majalah kelolaannya Pedoman Masjarakat menerbitkan roman atau novel bersiri.

Pada ketika itu, tiada roman atau esei yang berbentuk sastera Islam diangkat. Tetapi HAMKA menyediakan satu wadah alternatif oleh syarikat Balai Pustaka yang dasarnya menolak untuk menerbitkan karya-karya berunsur agama. 

Ulama ini (HAMKA) pada awalnya telah dikecam kerana memuatkan karya-karya yang menampilkan pergaulan bebas kerana ‘seorang HAMKA’ itu tidak sesuai menulis karya-karya sebegitu. Para pengkritik HAMKA berpendapat bahawa haram dan berdosa menulis karya-karya sebegitu. 

Walau bagaimanapun, HAMKA mempertahankan tindakannya, dan turut menyiarkan karya tersebut dalam majalah tersebut (Pedoman Masjarakat). Beliau berpendapat lantas menegaskan bahawa menulis karya sebegitu bukanlah satu dosa, malahan ia adalah satu jalan dakwah. Sebagai seorang ulama juga, HAMKA juga tidak menolak pendapat karya yang mendorong ke arah kemaksiatan dan kemungkaran adalah satu dosa dan dilarang dalam Islam. 

Menurut E. Ulrich Kratz, seorang pengkaji sastera Indonesia, kritikan terhadap HAMKA berpunca daripada tafsiran singkat sesetengah ulama dan orang ramai pada ayat 224-227 surah al-Syu’araa. Kesimpulan dari hujah HAMKA ialah sastera diterima sebagai sebahagian daripada Islam dengan syarat ia mendorong kepada kebaikan. Walau bagaimanapun, itu saja tidak memadai untuk diterima sebagai karya sastera Islam. HAMKA menegaskan bahawa seni atau sastera Islam mestilah juga merangkumi keindahan dan kebenaran. Kebenaran inilah menurut beliau sebagai ‘Huwwal Haqqu’ yang dengan sendirinya menjadi tunggak keindahan sastera Islam. 

Pada 1956, Kementerian Agama Indonesia mengarahkan penubuhan Himpunan Seni Budaya Islam. HSBI kemudian menubuhkan Majlis Seniman Budayawan Islam (MASBI) yang dipengerusikan sendiri oleh Buya HAMKA. Dengan perlantikan itu, maka secara tidak langsung menunjukkan penerimaan pandangan HAMKA telah diterima secara meluas. Pada 1961 pula, MASBI menganjurkan Musyawarah Seniman Budayawan Islam, yang menghasilkan apa yang boleh dianggap sebagai wacana awal sastera Islam. 

Musyawarah ini bukan sahaja menerima sastera Islam, tetapi juga distrukturkan dengan menetapkan tujuan, hukum, dan penggalakan aktiviti-aktiviti kesenian Islam. Menurut Musyawarah; seni diiktiraf sebagai satu ibadah, amal soleh, alat hablum minallah dan hablum minannas. Musyawarah ini juga turut mengajukan bahawa seni adalah satu bakti kepada di sisi Allah. Justeru, Musyawarah memutuskan bahawa seni sastera dibolehkan dengan syarat tidak mendorong ke arah kerosakan, kemaksiatan, syirik, serta menjauhkan pembaca dari Islam.

Rujukan: Mohd Faizal Musa (Faisal Tehrani), Wacana Sastera Islam di Malaysia dan Indonesia, UPM Press.

Comments