Catatan Pasca PBAKL2018: Pesta Buku Yang Mencabar

hasil tangkapan 3 hari.

Ahad lepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (PBAKL2018) telah melabuhkan tirainya di bangunan UMNO yang gilang-gemilang. Para penerbit, pembaca, grup-grup perbukuan berkampung di sama selama 10 hari untuk meraikan pesta tahunan ini. 

Seperti mana para peminat buku anggarkan, pesta tahun ini akan ‘disailang’ oleh PRU yang bakal berdentum pada Rabu ini. Jadinya, ada rumah penerbitan yang aku sempat tanya, mereka sudah maklum dan dengan lapang dada menerima apa jua yang akan berlaku dari segi pengunjung, peminat, dan hasil yang mereka kutip sepanjang 10 hari tersebut. 

Vibe PRU tahun ini sangat kuat sehinggakan pada timeline Facebook aku ketika pesta berlangsung, lebih banyak post mengenai politik ketimbang posting buku di PBAKL. Walhal kaum kerabat Facebook aku kebanyakannya dari circle buku. 

PBAKL2018 Di-hijack. 


Aku ke PBAKL pada 1 Mei, hari ke-5 pesta berlangsung. Sepanjang hari pertama hingga hari ke empat, posting di Facebook berkenaan PBAKL di-hijack oleh BN. Dah tu bangunan dia, nak buat macam mana lagi? Tiang di KL BACA tingkat 4, ada bendera BN, sedangkan ada program berbentuk ceramah dan forum mengenai perbukuan di situ. Aku tak salahkan mana-mana pihak dalam hal ini. Sebab tu bangunan mereka. Tapi kalau kita berfikiran “ubah saja PBAKL ke tempat lain”, aku kira tak ada tempat paling best dah melainkan PWTC. Dari semua aspek, PWTC ini sangat memberangsangkan kecuali tempat parking tu tak boleh nak cakap apa dah la. 

Pengunjung


Mengikut empirikal aku sendiri selama 3 hari di sana, pengunjung tidak ramai. 1 Mei Hari Pekerja itu pun aku nampak tak macam 1 Mei tahun lepas. Ada yang cakap sama. Mungkin aku hanya duduk 3 hari, tak bolehlah nak judge semua. Tapi, kemungkinan besar tahun ini kuasa membeli sangat kurang. Dengan masalah KADS1M/ baucar buku, dengan vibe PRU lagi. “pengunjung ramai. Cuma kuasa membeli kurang. Mungkin mereka datang sekadar nak datang lepak jalan-jalan. Atau mungkin sekadar nak gathering jumpa penulis dan sahabat lama. Tetapi mereka tidak memberi buku secara ghairah macam tahun-tahun yang lepas”, kata seseorang pegawai dari PBAKL kepadaku bila aku bersembang dengannya sambil pekena nasi lemak di Riverside PWTC. 

Reruai/ rumah penerbitan. 

Tahun ni aku tengok layout sangat teruk. Aku harap tahun depan mereka baiki balik layout/kedudukan reruai. Pastikan reruai kecil mudah dicari. Aku datang masuk TR4 nak cari Jejak Tarbiah, punyalah lama sampai 15 minit aku pusing. Last-last aku keluar balik di depan dewan, aku tengok layout di peta; rupa-rupanya Jejak Tarbiah terselit ‘di dalam’ MustRead. Kegilaan apakah ini? Macam mana 1 booth boleh duduk dalam booth yang besar? Patutlah aku cari tak jumpa. Ya, memang patut aku tengok peta dulu baru cari. Tapi tanggapan aku terhadap booth sebegitu (1 tapak) akan berada di belakang atau akan berada di booth 1 tapak yang lain. Patutnya macam tu kedudukannya selama ini. Nasiblah booth di TR3 tak menyusahkan sangat. 

Tahun ni aku rasa macam banyak reruai yang hilang. Tak masuk terus. Dan ada reruai yang dah umumkan tahun ini adalah tahun terakhir mereka di PBAKL. Tak pasti kenapa. Tapi reruai yang hilang tu menampakkan ruang kosong yang ketara terutama di TR3. 

DBP tahun ini berada di TR3. Aku tak tahu kenapa. Tapi 2017 sangat meriah mereka berada di THO. Nampak besar gila sebab hampir 1 dewan tu mereka conquered. Tapi tahun ni di TR3 bersama-sama reruai yang gah seperti Gallery dan ITBM. Mungkin ada yang tak perasan rasanya, seminggu sebelum PBAKL, DBPNiaga ada buat promosi buku 35% di website mereka. Aku beli di situ Hikayat Hang Tuah dan 2 buah buku lain. Di PBAKL, hanya 30% diberikan diskaun kepada buku terbitan 2016 ke atas. Tahun 2015 dan ke bawah rasanya 70% (betulkan jika aku salah). Tahun ni dalam wish list aku buku DBP 1 tak ada, Namaku Epal Kuning, cetakan 2010. Rasanya dah tak dicetak. Aku tanya Roslan Jomel sendiri pun dia pun cakap susah dah nak dapat buku tu. Tahun ni DBP terbit kembali buku Sampah dan Tivi karya SN Shahnon Ahmad. Mungkin desakan rakyat membuatkan DBP menerbitkan karya tersebut. aku harap DBP steady sampai semua karya SN yang terdahulu diterbitkan kembali. 

Saban tahun, kita akan dengar Jelajah Lejen Fixi di PBAKL. Tapi tahun ni sangat ajaib. Lejen Press ada reruai sendiri, begitu juga Buku Fixi ada reruai sendiri. Aku tak tahu kenapa. Tapi kelemahannya bagi yang nak beli kombo buku mereka yang 3 buah RM50 tu, tahun ni memang tak boleh campur buku. Lejen sahaja, dan Fixi sahaja. 

Fixi tahun ni menerbitkan Gantung hardcover sebanyak 350 unit. Aku dapat 1 unit. Personel shopper belikan. Dan aku COD di sana dan sempat ambil sign dan selfie bersama Nadia Khan. Nak dijadikan cerita pula, tengah aku makan Nando’s di Sunway Putra, barisan pelakon Gantung datang makan di tempat yang sama. Apalagi, aku ambil kesempatan yang jarang-jarang dapat ni untuk selfie bersama mereka dengan caption di Facebook aku “Dinner bersama barisan pelakon Gantung”. Nampak tak permainannya? Siapa yang kena tipu aku makan semeja dengan mereka tu, maaflah. Hahaha. 

Fixi memberi pandangan bahawa sambutan untuk Gantung tahun ini tak pernah semeriah sebelum ini. mungkin mereka mendatangkan barisan pelakon drama bersiri tersebut. Boleh pula masa mereka di buat meet & greet, PWTC blackout. Aduh. Adakah ini rehearsal untuk 9 Mei nanti? *jk. Huhuhu. Tahun ni di Fixi tiada novel negara. Maksud aku novel tajuk negara atau tempat seperti tahun-tahun lepas kita ada; Jepun, Amsterdam, Brazil. Tahun ni tak ada. 

Yang mendatangkan persoalan dalam minda adalah Amsterdam masih wujud dijual di reruai Fixi. Ajaib. Buku tu agak kontroversi dan Fixi rasanya pernah cakap tahun lepas hanya dijual di PBAKL. Ya, mungkin tahun ni pun PBAKL, jadi mereka juallah. Nasihat aku, dapatkanlah buku Amsterdam tersebut. 

Lejen Press macam biasa. Tahun ni Lejen aku memang nak beli buku Nami. Buku Lejen tahun ni sebuah saja aku beli. 

Kawah Buku, IBDE, Kafilah Buku – barisan reruai buku rare dan akademik wajib kunjung. Aku sempat kunjungi ketiga-tiga reruai tersebut dan menilik buku mereka. IBDE banyak buku baru tetapi buku dari IKD tak banyak. Kalau buku IKD banyak, rasanya masih ada yang mencarinya. 

Gerak Budaya sangat dahsyat tahun ni. Dalam wish list aku ada dua buah buku yang boleh beli dari Gerak Budaya (GB); Aktivisme Mahasiswa Malaysia yang harga asalnya RM45, dijual RM20, dan buku Menyanggah Belenggu RM38 diberi harga RM20. Memang aku sambar terus lah. Buku-buku GB memang terkenal dengan harga yang agak keras memandangkan cetakannya yang berkualiti tinggi. Tetapi tahun ni mereka letak atas meja buku-buku special price. Macam buku Bangkit: Tun Abdullah pun RM20 sahaja. Aku nak beli juga yang tu, tapi duit tu aku beli Islam, Sekularisme dan Demokrasi Liberal yang harganya RM65 (diberi RM55). Pejam mata sajalah bayar. Sebab buku tu pada pengetahuan aku, IRF pun dah tak ada stok. Buku Pendedahan di Parlimen: Dasar dan Cabaran Malaysia (editor Ooi Heng) aku dapatkan dari GB melalui messenger FB. Buku tu aku perati lama juga. Tapi buka web shop GB, buku tu out of stock. Aku chat mereka di Facebook, mereka check di stor, ada 2 buah. Aku minta GB bawakan ke booth dan aku ambil di sana. 

Thukul dan DuBook duduk berjauhan gila tahun ni. Thukul di TR4, DuBook di Legar Putra. Dua-dua reruai ini pernah gah satu ketika dahulu, tetapi tahun ini agak hambar. Buku Thukul dijual RM10 patut anda dapatkan sebelum habis. DuBook terbitkan terjemahan 120 Malay Movies dari Amir Muhammad, cetakan asal oleh Matahari Books. Aku grab terus buku tu dan berlari-lari anak ke Fixi untuk dapatkan sign Amir Muhammad. Memang aku perati lama dah buku tu, dan fikir tak ada orang nak terjemah ke buku ini. Doa dalam hati aku termakbul juga tahun ni. Tapi agak janggal DuBook yang terbitkan. Rasanya bab-bab terjemahan buku ini selalunya Thukul yang terbitkan. Patutnya di PBAKL Thukul terbitkan buku baru Syazreen, tapi 3 hari aku di sana sehingga Khamis, buku tu masih tak ada di rak. Mungkin ada la tu masalah sikit. Tak kesah sangat pun, cumanya aku risau buku tu tak sempat orang nak beli, dah kena banned. Dan patutnya Thukul umumkan dalam Facebook buku tu ada atau belum dengan jujur. Sebab dah umum dalam Facebook, tapi aku tengok dekat rak, masih tak ada.

ITBM macam biasa. Tiap-tiap tahun aku dapat email 40% diskaun untuk semua buku. Tahun ni mereka buat 50% untuk hari pertama sahaja. Tapi aku tak sempat datanglah hari pertama tu. So lepas ni kalau nak beli buku ITBM, kau slow and steady je kumpul duit, beli di PBAKL saja. Jimat banyak mana dah tu. Tahun ni buku ITBM aku tak fokuskan sangat, tak macam tahun lepas aku pergi beli semua buku Roslan Jomel dengan Wan Nor Azriq. Tahun ni hanya dua buah buku S.M. Zakir. 

Oh ya. Negara tamu. Indonesia dan Arab Saudi. Arab Saudi ini aku tak teliti sangat. Sebab aku tak baca buku arab. Sebelum PBAKL, aku sangat teruja dengan negara tamu Indonesia. Gramedia, Pustaka Obor, aku sedang bayangkan lambakan buku Indonesia di pavilion mereka. Tetapi agak kecewa, mereka hanya datangkan buku yang popular di Malaysia untuk dijual di sana. Buku-buku terbitan Gramedia yang agak ‘susah dapat’ tidak dibawa masuk ke PBAKL. Bukan tu sahaja, buku yang dijual pun, lumayan mahalnya. Aku ingat mereka datang sini, murahlah sikit dari harga orang Malaysia jual buku Indonesia, tapi ada yang lagi mahal. Dan yang paling kecewa sekali ialah novel Anak Rantau, novel terbaru dari A. Fuadi yang dah established lama namanya di Malaysia ini pun tak dibawanya. Aduh. Memang sakitnya hati ini. Lepas tu pula reruai lain yang ada jual buku Indonesia pun, tak ada buku tersebut. Padahal, hari Khamis tu ada event stage bersama A. Fuadi. Aku harap tahun depan tak jadi dah macam ni. Aku sanggup delay balik Pahang semata-mata nak jumpa A. Fuadi dan beli Anak Rantau

Tahun ni total damage aku RM572.20 untuk buku sahaja. 3 hari aku bermalam di hostel Bukit Bintang semata-mata nak hadir ke PBAKL tahun ni. Best juga backpack macam ni. Next time kalau aku ventur KL sorang-sorang, aku tahu dah la nak tidur kat mana. RM18/night. OK la sekadar nak tidur dan lepaskan penat lelah. Sebenarnya aku bajet RM600 siap makan dan penginapan, tapi lari bajet. Sebab buku yang aku nak tak ada, tapi buku yang aku tak nak, tiba-tiba muncul depan aku. Jadinya wish list aku tahun ni agak kelam kabut walaupun dah ditanda dalam GoodReads. 

Kritikan Membina kepada PBAKL. 

  1. Tahun ni macam aku cakap tadi, layout sangat teruk. Aku harap tahun depan pihak PBAKL dapat ubah layout dengan lebih teratur. 
  2. Duta Buku walaupun aku hadir hari ke 5-7 dah, masih ada yang terkial-kial. Aku dapat repot dari rakan-rakan yang Duta Buku tak berapa fasih mengenai reruai dan bangunan PWTC tu sendiri. Mungkin tak cukup masa. Bagi aku, Duta Buku perlu dipilih dikalangan pencinta buku yang selalu bergelumang dengan buku. Aku dapat tahu penganjur memilih Duta Buku tahun ni berdasarkan (salah satunya) rupa yang nice looking. Ok je bagi aku, tak la takut sangat nak jumpa dan tanya mereka ni. Tahun ni aku jelous sikit sebab Duta dapat topi dan 3 helai baju ketimbang kami tahun lepas tak ada topi dan hanya dibekalkan 2 helai baju. Tapi point ini bukan sebab aku jelous, tapi sebab aku rasa kesian; pengunjung terutama budak sekolah tak tahu kat mana buku yang mereka nak beli tu dijual. Budak sekolah tunjukkan phone yang ada gambar buku tersebut, tapi Duta Buku tak memainkan peranan yang maksimum untuk menolong bocah tersebut. Mungkin itu satu saja berlaku di hadapan mataku, dan mungkin itu satu saja yang terjadi. Tapi untuk masa hadapan, ada peningkatand dari segi efisyensi Duta Buku. 
  3. Tahun ni PBAKL punya apps tak macam tahun lepas yang siap ada sukarelawan memberikan flyers dan angkat plakad untuk promosi apps tersebut. aku hari last aku ada di sana baru aku perasan yang Bilik Pulau Pinang (kalau tak salah) rupanya itulah loker buku. Patutnya kalau boleh ada banner/bunting yang besar untuk loker tersebut. Apps tu pun tahun ni tak diberi promosi yang jitu kepada pengunjung. Aku pun mula-mula ingat apps tu tak wujud dah. Rupanya agak kurang promosi mungkin. 
  4. 1-3hb aku di sana, eskalator (kalau mengadap pentas utama) belah kanan akan naik ke atas, belah kiri akan turun ke bawah. Hari ke-10 PBAKL, eskalator tu turun dan naik. Aku rasa elok dikekalkan yang 1 hala. Barulah tak bertembung manusia kat situ. Ada keburukan juga kalau buat; antaranya ialah jauh kau nak pusing. Tapi untuk elak kesesakan, eloknya buat turun sahaja dan naik sahaja. 
  5. Lif memang ada sebiji tu je eh di PWTC? Sebelahnya THO. Aduh. Lif tu kalau kita remaja bergetah kuat lagi cerdik, utamakan pengguna yang bawa troli. Lif tu memang besar, tapi lif tu dicipta untuk mengutamakan pengunjung yang bawa barang yang besar dan berat. Kau anak muda, padan kau berlari anak je tangga belakang stage tu. Aku siap pernah guna tangga kecemasan lagi dalam PWTC. kau pun tak tahu tangga kecemasan PWTC kat mana kan? Mengaku sajalah. 
  6. Yang ni aku paling tak puas hati. Kenapa pintu belakang TR3 dikunci? Pintu tu menghubungkan surau dengan dewan. Tahu tak betapa jauhnya kalau kau dari TR3 atau TR4 nak pergi surau tanpa ikut pintu tu? 3 hari aku kat situ, memang dikunci. 7 hari yang lain adakah dikunci juga? Aku harap tahun depan tak jadi macam ni dah. Hari Jumaat waktu solat Jumaat fine kau nak kunci pintu tu takut orang guna pintu tu untuk cross tengah orang ramai. 

Pesanan buat pengunjung (yang tak ditulis dalam blog sebelum ini) 

ATM di sebelah Riverside tu, ada Maybank yang aku pasti. Lagi yang lain aku lupa. Aku nampak berpuluh orang duk beratur menunggu nak keluarkan duit. Tahun lepas aku ada pesan dalam blog; bawa cash. Tapi tahun ni pun aku tak bawa banyak cash. Sebabnya 2018 ni aku ingat dah maju la semua boleh debit je, ada juga reruai yang tak terima debit. Tapi tak apa lah, standby orang putih cakap. Selain di ATM sebelah Riverside Café tu, di stesen LRT PWTC ada ATM kalau tak salah. Boleh keluarkan duit di situ. Dalam Sunway Putra pun ada ATM, mall kan, mestilah ada ATM. Dan, dan dalam PWTC tu ramai sangat orang tak perasan. Bahawasanya, di pintu masuk belakang Legar Putra, adanya bank CIMB. Ya, bank CIMB. Bukannya ATM. Maksudnyam kalau ada bank, sekurang-kurangnya ada ATM lebih dari sebuah. Aku tengok di ATM Maybank ramai orang beratur. Aku diberitahu oleh rakanku ada bank di belakang. Aku pergi, memang boleh dikatakan lengang. Mungkin kawasan tu tersorok. Ramai tak perasan. Dan apa yang aku perasan, tak ada sign yang besar menyatakan ada bank kat belakang tu. Kalau kau nak beratur dan jimatkan RM1.06 anda, silakan beratur di ATM Maybank tu. Bagi aku, aku lebih pentingkan masa. Hal ini patutnya Duta Buku yang jaga di Legar Putera tu alert dan beritahu yang sedang beratur tu bahawasanya ada ATM di belakang.

Penulis yang Dahagakan Review

Tahun ini aku 3 hari di PBAKL, tak ramai penulis yang aku jumpa. Sama ada aku kenal penulis atau tak kenal. Bila aku berbual dengan rakan penulis yang aku kenal, kebanyakkan mereka kenal aku dari GoodReads, dan aku add mereka di Facebook. Di GoodReads, sepertimana peminat buku sudah tahu, review di situ boleh digunakan untuk kita memilih bahan bacaan yang baik. Tetapi adakah semua pembaca akan review bahan bacaan mereka? Inilah masalahnya.

Penulis: Naim, kau pernah baca buku aku kan?
Aku: Pernah.
Penulis: Tolong review di Goodreads.
Aku: InsyaAllah.
Rakan penulis lain: Review membina, Naim. Macam promosi.

Nampak tak? Betapa penulis ni memerlukan review. Aku bukanlah sosok yang betul untuk kritik buku. Tetapi untuk aku sendiri, aku cuba mencari idea lain dari yang orang selalu review di GoodReads. Review bukanlah berbentuk "novel ini best!", atau "buku ini wajib dibaca oleh tiap-tiap manusia yang hidup di planet ini", tetapi lebih dari tu. Review berbentuk pemikiran adalah yang paling dinantikan. Apakah pemikiran yang ingin penulis suntik kepada pembaca? Bagaimana hendak jadikan buku itu sebagai dadah dalam kehidupan? Bagaimana sesebuah buku itu dapat mengubah kehidupan yang lain? Bagaimana sesuatu review dapat meningkatkan prestasi penulis di satu masa akan datang (contoh) supaya penulis tak mengulangi kesalahan yang sama?

Kritik terhadap buku. Kritik terhadap penulis. Kritik terhadap material, penerbitan, layout, gaya terbit, isi kandungan, rujukan, pemikiran, nota kaki, kritik terhadap editor, kritik persembahan; semua ini diletakkan di atas pundak para pembaca. Penulis ada yang dahagakan review. Aku seringkali mencari 'sisi yang lain' untuk review buku. Ramai penulis yang aku jumpa dalam masa yang singkat ini memerlukan review. Selain untuk mereka bersemangat menulis lagi, mereka akan ada idea baru untuk menulis jika ditekan oleh pihak pembaca.

Buku yang wajib review antaranya buku yang kau dapat percuma dari penulis. Itu wajib. Dan buku yang ditulis oleh penulis mapan (terutama novel ringan; contohnya Ramlee Awang Murshid), pada pandangan aku, cukuplah direview oleh peminatnya yang berada di pelusuk dunia ini. Yang lebih memerlukan review adalah buku yang masih baru yang baru dimasukkan dalam GoodReads; untuk tujuan pasaran dan promosi. Buku-buku agak ilmiah. Buku novel dari rumah penerbitan yang agak tidak dikenali. Buku yang anda fikir kenapa perlu dibaca. 

Dalam post Facebook terdahulu, aku ada tulis secara sepintas lalu bagaimana hendak review sebuah buku. Mungkin tulisan itu tidak kemas, tapi masih boleh digunapakai. Mungkin satu hari nanti aku akan cari balik post tersebut dan kemaskan kembali. 

Mungkin boleh baca dulu sedikit celoteh aku mengenai review buku di sini: https://www.facebook.com/naimalkalantani/posts/10207495405863668.
Oh ya, percayalah, lepas kau review buku yang orang lain tak review, kau akan jadi figure, like me. Hahaha. Orang kenal aku di GoodReads. Penulis PM sendiri untuk review, penerbit beri naskhah percuma untuk review, review kau bagaikan satu ungkapan emas untuk sang penulis - sangat dinantikan.

Penutup


Akhir kata, PBAKL2018 ini pada peribadi aku sendiri, berlangsung dengan jayanya tanpa masalah yang besar, sama seperti tahun-tahun sebelum ini. Kita tunggu bilangan pengunjung dari data rasmi oleh PBAKL. Adakah ia meningkat naik atau jatuh menjunam ataupun tak ketara sangat dari tahun-tahun lepas. PBAKL tahun ini secara umumnya sangat menarik sebab banyak program diadakan seperti KLBACA dan contest untuk selfie di billboard PBAKL di stesen LRT. Sebelum ini, promosi di billboard tak ada, tahun ni dah ada. Tahniah PBAKL! Tahun depan, kita bertemu awal sebulan, 29 Mac hingga 7 April 2019. Jumpa di sana!

Comments