Ringkasan Inspirasi Lagu 'Tanya Sama Itu Hud-hud'





Salah sebuah lagu paling popular yang dinyanyikan oleh M. Nasir ialah ‘Tanya Sama Itu Hud-hud’ dan ‘Dibalik Cermin Mimpi’.

Lagu ini dikaitkan dengan kesufian dan tariqat. Tetapi, kalian tahu dari mana asal-usul lagu ini diinspirasikan?

Nah. Di sini aku ingin menceritakan secara ringkas dari M. Nasir dapat menterjemahkan kisah kesufian tersebut.

Di Iran pada abad ke-12, terdapat seorang ahli sufi, Abu Hamid bin Abu Bakar Ibrahim (m. 1230) atau lebih terkenal dengan nama Fariduddin Attar — kerana beliau adalah seorang pembuat minyak wangi dan juga seorang ahli alkimia.

Fariduddin Attar menulis satu karya epik kesufian yang dinamakan Maqamat al-Tuyur (Persidangan Burung-burung) yang mana menceritakan burung di dunia berhimpun mengelilingi burung hud-hud. Hud-hud ini dipilih oleh para burung tersebut untuk memimpin satu perjalanan untuk menemui Simurgh — Raja Segala Burung.

Sebelum berangkat, para burung tersebut perlu mengisytiharkan taat setia mutlak kepada burung hud-hud, mereka perlu berjanji bahawa “apa sahaja yang diperintahkannya di sepanjang Jalan. Kami wajib, tanpa kedegilan, taat.”

Hud-hud memberitahu bahawa sumpah itu perlu kerana kembara ini berbahaya dan dipenuhi ranjau jasmani dan emosi, dan hanya dia (Hud-hud) yang mengetahui jalan tersebut. Justeru, burung-burung ini perlu mengikutinya tanpa soal, tak kira apa permintaannya.

Untuk sampai ke Simurgh, burung-burung perlu melintasi tujuh lembah berbahaya — setiap satu mewakili satu stesen di setiap jalan.

  1. Lembah Pencarian: di sini burung perlu menyingkirkan dunia dan bertaubat atas dosa mereka.
  2. Lembah Cinta: burung akan direjam ke laut api “sehingga wujudnya sendiri terbakar.”
  3. Lembah Misteri, burung mesti mengambil jalan berbeza, kerana “terdapat begitu banyak jalan, dan setiap satunya layak. Buat penziarah berkenan yang mesti mengikutinya”.
  4. Lembah Pemisahan: segala dakwaan, segala ghairah terhadap makna, lenyap.
  5. Lembah Penyatuan: yang banyak bergabung menjadi satu. Ketunggalan bagi kepelbagaian. Bukan ketunggalan yang terkunci dalam kemufradan.
  6. Lembah kebingungan: burung-burung letih dan kebingungan — memecahkan selubung keduaan tradisional dan tiba-tiba berhadapan dengan kekosongan wujud mereka. “Aku tidak lagi memiliki ilmu yang pasti”, burung-burung dalam kekeliruan.
Aku meragui keraguanku, keraguan
sendiri ternyata tidak pasti
Aku cinta, tetapi buat siapakah aku mengeluh?
Bukan Muslim, namun bukan juga
penyembah berhala; siapakah aku?

7. Lembah kehampaan: di sini ego mereka dilondehkan, mereka “memakai jubah yang menandakan ketidaksedaran” dan dimamah oleh roh alam semesta.

Setelah tujuh lembah ini dilalui, setelah burung-burung itu belajar untuk ‘memusnahkan gunung Diri’ dan ‘meninggalkan akal demi cinta’, barulah mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan ke singgahsana Simurgh.

Daripada beribu-ribu burung yang memulakan kembara tersebut, hanya 30 burung yang berjaya sampai ke hujung. Dengan “hati yang tiada berharapan dan kepak yang tercabik-cabik dan lemah,” 30 ekor burung tersebut dibawa mengadap Simurgh.

Namun, apabila mereka memandangnya, mereka terperanjat kerana ini bukan Raja Burung seperti yang mereka jangka, tetapi diri mereka sendiri! Simurgh ialah perkataan Parsi yang membawa maksud “tiga puluh burung”.

Di sini di penghujung Jalan, burung-burung itu berdepan dengan realiti bahawa walaupun mereka telah berusaha, merayau-rayau, mengembara jauh; mereka sendirilah yang mereka cari dan mereka sendirilah adalah mereka.

“Aku adalah cermin yang diletakkan di depan matamu,” kata Simurgh. Dan jelasnya lagi, “Dan semua yang datang dihadapan kehebatanku melihat mereka sendiri, hakikat mereka sendiri yang tersendiri.”

Demikianlah kisah hud-hud. Kisah ini boleh didapati dari buku Fariduddin Attar yang berbentuk puisi, Maqamat al-Tuyur. Telah diterjemahkan kepada bahasa Indonesia dengan tajuk “Musyawarah Burung”. Untuk mendapatkan edisi bahasa Malaysia, pihak Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) telah menterjemahkan dan menerbitkannya dengan tajuk Sidang Unggas: Kembara ke Puncak Makrifat. Buku ini diterjemahkan dari karya versi English, The Conference of The Birds.

Tak semua dalam lagu Tanya Sama Itu Hud-hud dan Di Balik Cermin Mimpi tu berpandukan kisah ini. Cumanya the whole lagu tu, boleh dikatakan dari Sidang Unggas. Dan kalau dengar Di Balik Cermin Mimpi, bagi saya, ia lagi ‘dalam’ berbanding dengan Tanya Sama Itu Hud-hud. Kedua-dua lagu tersebut tidak dapat dipisahkan — ‘ritualnya’ ada pada Tanya Sama Itu Hud-hud, dan ‘kenikmatannya’ ada pada Di Balik Cermin Mimpi.

Apa lagi? Sedang elok PKP ini, boleh hubungi pihak ITBM di talian melalui Whatsapp http://wa.me/60192219015. Aku tak pasti masih ada stok atau tidak, ini bukan iklan berbayar ya. Kebetulan ITBM ada buat promosi dan aku sedang baca kisah sufi, jadi aku rekemen saja. Isi masa terluang anda dengan membaca sastera!

Comments