Apakah Masalah Terbesar Selepas Kewafatan Nabi?




Selepas kewafatan baginda, perkara paling bermasalah bukanlah puak pemberontak yang melawan agama Nabi atau puak yang tidak lagi mahu beriman dengan Islam. Tetapi masalah utama ialah Nabi Muhammad tidak menyebut siapakah pengganti baginda.

Abu Bakar menjadi Khalifah pertama bukanlah dengan syura yang betul. Bahkan Abu Bakar bersama Umar dan Abu Ubaidah menyelinap masuk ke dalam syura kaum Ansar. Dan pada ketika itu, tidak dimaklumkan secara umum adanya syura dan pemilihan Abu Bakar dibuat.

Ketika pemilihan Abu Bakar, Ali sedang membersihkan (memandikan) jenazah Nabi sebelum dan bersiap sedia untuk dikafankan dan disemadikan. Bani Hashim meradang kerana syura tersebut tidak melibatkan Ali dan bermakna ia tidak mewakili sekalian Ummah.

Kaum Ansar menganggap Ali dan Nabi Muhammad bukan cuma orang Mekah, bahkan anak jati Madinah — ‘salah seorang dari mereka’, dengan itu mereka kecewa kerana Ali tidak dilibatkan. Dan secara terbuka, kedua-dua kumpulan ini — Ansar dan Bani Hasyim enggan memberi sumpah setia kepada Khalifah baru.

Justifikasi Ali tidak terlibat dengan syura atau tidak dipilih menjadi khalifah menurut;
  1. Abu Bakar dan Umar — terlalu muda untuk memimpin. Jika beliau menggantikan Muhammad, kelihatan seperti penggantian berbentuk warisan kerajaan (mulk). Hujah ini sering diulang-ulang oleh sarjana Muslim sehingga hari ini.
  2. M.A. Shaban di dalam bukunya Islamic History jilid 1 — Ali tidak pernah dianggap sebagai calon utama untuk menjadi Khalifah kerana (1) keengganan orang Arab mengamanahkan seseorang “anak muda yang belum teruji dengan tanggungjawab besar”.
  3. Henri Lammens — bersetuju dengan hujah ini kerana kebencian orang Arab terhadap kepimpinan berbentuk warisan sebagai alasan untuk menghujahkan bahawa Ali tidak mungkin dapat menggantikan Muhammad secara absah.
  4. Monthomery Watt — Abu Bakar adalah satu-satunya pilihan jelas sebagai pengganti Muhammad.

Sebilangan besar Muslim yakin bahawa semasa mengerjakan ibadah haji terakhir ke Mekah, Nabi telah melantik, di depan orang ramai, sepupu dan menantu baginda, Ali, sebagai penggantinya.

Menurut cerita, dalam perjalanan pulang ke Madinah, Muhammad berhenti di sebuah oasis bernama Ghadir al-Khumm dan mengisytiharkan, “Sesiapa saja yang menganggapku sebagai penaungnya, jadikan Ali sebagai penaungnya (maula).”

Namun terdapat sebahagian Muslim yang bukan sahaja menolak peristiwa di Ghadir al-Khumm tetapi menolak sepenuhnya status istimewa Bani Hasyim sebagai ahlul bait.

Penyokong Ali tidak berdiam diri. Umar terbeban dengan masalah tersebut. Dan setelah memaksa ketua kaum Ansar iaitu Saad bin Ubaidah untuk tunduk dan bersetuju, Umar pergi ke rumah Fatimah (anak nabi, dan isteri Ali) dan mengugut untuk membakar rumah melainkan Fatimah dan seluruh Bani Hasyim bersetuju dengan keputusan syura.

Abu Bakar sempat menghalang tragedi tersebut di saat-saat akhir. Namun mesej yang jelas ialah: Ummah berada dalam keadaan amat tidak stabil, situasi politik di Hijaz juga bergolak hebat, maka penentangan secara terbuka tidak dapat dibiarkan. Ali akur. Demi maslahah umat, beliau dan seisi keluarganya menarik balik tuntutan terhadap kepimpinan dan memberi sumpah setia kepada Abu Bakar setelah enam bulan usaha memujuk mereka dijalankan.

(Walaupun hujah untuk tidak memilih Ali kelihatan kukuh, tetapi aku akan menulis di lain waktu hujah “kenapa Ali layak menjadi Khalifah (pertama).”)

— Rujukan: Reza Aslan, No God But God: The Origins, Evolution, and Future of Islam.

Comments