Sewaktu PKP ni aku sempat habiskan tiga buah novel pensyarah aku; bermula dengan Naratif Ogonshoto, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, dan diakhiri dengan Penyeberang Sempadan.
Naratif Ogonshoto
Usai membaca Naratif Ogonshoto, aku merasa satu nikmat yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata — sudah lama aku tak rasa nikmat sebegini. Kali terakhir aku rasa sebegini mungkin sewaktu membaca 1515, Faisal Tehrani. Jadi aku menulis reviu untuk Naratif Ogonshoto dan menghantarnya ke pertandingan anjuran Kota Buku. Alhamdulillah menang pertandingan tersebut. Kalian boleh membacanya di sini: Naratif Ogonshoto - MukaSurat.my. Mungkin aku tak perlu copy masuk ke sini reviu aku di Mukasurat — menghormati penganjur. Kalian boleh saja baca di sana. Reviu tersebut juga dedikasi untuk pensyarah aku, Dr. Anwar Ridhwan yang mengajar kami dengan penuh kesungguhan.
Sebenarnya kalau ikutkan, sepatutnya aku dah (perlu) baca Naratif Ogonshoto tersebut dari 2018 lagi! Aku beli novel tersebut di PBAKL2018 sebelum aku kenal 'siapa' Anwar Ridhwan dan sebelum aku diilhamkan untuk mendaftar ke ASWARA pun lagi. Aku masuk ASWARA pun, aku tak tahu pun yang Anwar Ridhwan menjadi tenaga pengajar sepenuh masa di sana. Dan nak dijadikan cerita, aku ke ASWARA pada September 2019, aku membawa bersama-sama Naratif Ogonshoto dan meminta tanda tangan Anwar Ridhwan — tetapi aku tak membacanya sehinggalah PKP ini. Punyalah tak guna aku ni sebagai anak murid.
Hari-hari Terakhir Seorang Seniman
Selepas membaca Naratif Ogonshoto, aku rasa inilah karya sastera yang aku cari. Seperti biasa — seperti penulis yang lain, Faisal Tehrani, Ridhwan Saidi, Wan Nor Azriq, Roslan Jomel — aku jumpa mencari lagi karya-karya penulis yang sama — Anwar Ridhwan. Di rak buku aku di rumah, rupanya ada Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang pada bukunya tercatat tahun 1980. Kepunyaan ayahku. Kulit depan dan belakang sudah terkoyak terus. Dan ada beberapa contengan dari bocah nakal — mungkin adik beradikku, mungkin aku sendiri sewaktu kecil?
Aku tekuni Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dengan perasaan membuak-buak — tetapi aku rasa tidak puas. Aku tak dapat rasa 'keAnwar Ridhwanan' itu. Mungkin Anwar ada fasanya sendiri. Itu perkara biasa bagi penulis. Aku cuba mencari-cari bagaimana novel ini dapat menang Hadiah Sastera GAPENA - Yayasan Sabah 1979. Ketika aku mengetik papan kekunci ini, aku masih tidak tahu siapakah/ karya manakah yang turut bertanding dalam sayembara yang sama sehinggakan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman ini boleh menang.
Aku bukanlah menidakkah status Anwar Ridhwan sebagai seorang Sasterawan Negara. Beliau pun dikalungkan SN lama selepas Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Sepertimana yang aku katakan tadi, mungkin ia sebuah fasa. Novel ini tidak sampai tahap yang aku idamkan dari penulis yang pernah mencoret Naratif Ogonshoto. Itulah maksud aku — fasa.
Penyeberang Sempadan
Aku rasa tidak puas. Dan aku mencari lagi novel Anwar Ridhwan yang lain. Maka berjumpalah dengan Penyeberang Sempadan ini. Aku kira ini novel yang paling mahal oleh beliau.
Dari segi bahasa, Penyeberang Sempadan masih tidak dapat menandingi Naratif Ogonshoto. Dan dari segi cerita pun, aku rasa storyline Penyeberang Sempadan ini agak longgar. Banyak benda yang tidak diterangkan dengan jelas.
Walaupun memenangi tempat pertama Hadiah Sako — yang kita semua tahu betapa prestijnya anugerah ini — tetapi ada novel ini aku tidak dapat beri 5 bintang. 448 muka surat yang agak meleret. Magisnya tidak diketengahkan dengan ghairah. Storynya ada yang tidak lengkap.
Tema novel ini sangat menarik. Bahasa yang digunakan memukau, tetapi kalah dek kemeleretan penceritaannya. Novel ini boleh jadi nipis saja kalau tak meleret dan jika setebal ini pun, patutnya Anwar Ridhwan menekankan cerita watak utama dengan jelas. Scene di mana Kuay bertukar ideologi semasa bertemu Shafi’aa sepatutnya diberikan penekanan yang mendalam. Sepatutnya ada perdebatan yang panjang. Mungkin dalam 1 bab perlu dialog sahaja. Sebab Kuay ini dari kecil dia sudah berideologi komunis, rasa macam mustahil bila jumpa Shafi’aa, terus boleh berubah macam tu saja dengan hujah-hujah Shafi’aa tersebut.
Awal novel sangat cantik. Sampai di tengah, hampir lost. Tiada keghairahan untuk pembaca membaca story — ghairah hanya untuk meneliti perkataan-perkataan yang digunakan oleh Anwar Ridhwan sahaja. Seperti yang kita maklum, kita kena akui bahawa Anwar Ridhwan sangat menjaga penulisan dan diksi beliau.
Epilog novel ini bagi aku — tidak kuat. Peleraian yang terlalu biasa — meleret. Walau bagaimanapun, aku suka cara Anwar Ridhwan menulis cerita. Bagaimana beliau menggunakan pov yang berbeza itu sangat menarik. Sekejap aku, sekejap dia.
Anwar Ridhwan — bacaan sastera wajib anak muda
Kalau ditanya anak muda, rata-rata akan menyatakan bahan berunsur sastera ini bosan. Dan juga anak muda tidak mengenali siapakah sasterawan negara kita. Mungkin kenallah seorang — Pak Samad. Tetapi Anwar Ridhwan ini, novel-novelnya diuji mutunya. Ketiga-tiga novel ini menang sayembara — yang mana sayembara ini bukan kaleng-kaleng. Dan aku juga ada terbaca seseorang menulis; jika ada seseorang dari Malaysia yang diangkat untuk menjadi pemenang Hadiah Nobel, maka Anwar Ridhwanlah orangnya bersama novel Naratif Ogonshoto beliau!
Walaupun di atas ada beberapa celoteh yang aku kongsikan, aku tetap menghormati pensyarah aku, Anwar Ridhwan. Dan walaupun aku anak murid beliau, bagi aku sebagai pembaca dan (so-called) pengulas picisan ini, aku perlu bertindak adil dalam menekuni dan meluahkan apa pandangan aku terhadap apa yang aku labur.
Mungkin habis PKP nanti, dan bila ASWARA sudah dibuka kembali, aku akan melutut di harapan Anwar Ridhwan dan bertanyakan serba sedikit proses atau beberapa perkara lain mengenai ketiga-tiga bukunya tersebut. Aku sangat adore dengan penulisan beliau dan selepas ini aku berjanji kepadaku sendiri, sebelum aku bergraduasi, aku akan lengkapkan semua karya beliau di rak buku aku.
Comments
Post a Comment
komen dan kritikan amat digalakkan