![]() |
| Istana Melaka? |
“Adapun akan Sultan Mansur Syah pun pindahlah, tiada mahu diam lagi pada istana tempat Hang Jebat mati itu. Maka baginda memberi titah kepada Bendahara Paduka Raja, menyuruh membuat istana. Maka Bendahara sendiri mengadap dia, kerana adat Bendahara pegangannya Bintan. Adapun besar istana itu tujuh belas ruang, pada seruang tiga-tiga depa luasnya; besar tiang tiangnya sepemeluk, tujuh pangkat kemuncaknya. Pada antara itu diberinya berkapa-kapa, pada antara kapa-kapa itu diberinya bumbungan melintang dan bergajah menyusu; sekaliannya bersayap layang-layang, sekaliannya itu diukir dan bersengkuap. Pada antara sengkuap itu diperbuatnya belalang bersagi; sekaliannya dicat dengan air emas. Kemuncaknya kaca merah, apabila kena sinar matahari, bernyala-nyala rupanya seperti manikam. Akan dinding istana itu sekaliannya berkambi, maka ditampali dengan cermin China yang besar, apabila kena panas matahari bernyala-nyala rupanya, kilau-kilauan tiada nyata benar dipandang orang. Adapun rasuk istana itu kulim, sehasta lebarnya, dan sejengkal tiga jari tebalnya. Akan birai istana itu dua hasta lebarnya, dan tebalnya sehasta, diukirnya rembatan pintu istana itu empat puluh banyaknya, semuanya bercat dengan air emas. Terlalu indah perbuat istana itu, sebuah pun istana raja yang di bawah angin ini tiada sepertinya pada zaman itu. Istana itulah yang dinamai orang ‘Mahligai Hawa Nafsu’; atap-atapnya tembaga dan timah disiripkan.”
A. Samad Ahmad (penyelenggara), Sulalatus Salatin (edisi pelajar), Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor, 2013, mukasurat 143.
“Hatta tidak beberapa lamanya, maka dengab takdir Allah Taala mahligai itu pun terbakarlah. Tiba-tiba di atas kemuncaknya; tiadalah sempat lagi. Maka baginda dengan Raja Perempuan serta dayang-dayang sekaliannya habis turun ke istana lain; suatu pun harta raja tidak terbawa, sekaliannya tinggal dalam istana itu. Maka orang pun datang terlalu banyak hendak berbela api itu, tiada terbela lagi. Maka harta dalam istana itulah yang diperlepas orang orang; tetapi timah atap istana itu hancur, cucurlah turun seperti hujan yang lebat. Maka seorang pun tiada berani masuk mengambil harta, maka Bendahara hadir berdiri mengadap segala orang berlepas harta raja.”
A. Samad Ahmad (penyelenggara), Sulalatus Salatin (edisi pelajar), Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor, 2013, mukasurat 144.